Tuesday, October 25, 2011

20 Amalan Murah Rezeki.

di abaptasi dr I Luv Islam..

01.Menyempatkan diri beribadah

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.]
02.Memperbanyakkan istighfar
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]
03.Tinggalkan perbuatan dosa
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]
04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah S.W.T.hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd: 28]
05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya." – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]
06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." – [Riwayat Bukhari]
07.Tunaikan hajat orang lain
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]
08.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.
09.Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." – [Riwayat Bukhari]
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]
13.Bersedekah
Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya." – [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]
14.Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]
16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." – [Ali Imran: 145]
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan memurahkan rezeki.
Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – [Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]
Nabi S.A.W. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." – [Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.]
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]
Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T., lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.
bagaimanapun, janganlah kita bertungkus lumus beribadat semata-mata untuk ganjaran dunia juga, iaitu dengan limpahan rezeki. mohonlah agar hidup diberkati dan mendapat kasih sayag Allah..

No comments:

Post a Comment