Wednesday, December 8, 2010

Tidak akan menyesal orang yang memilih untuk beristikharah sebelum memutuskan urusannya.

Hasil penulisan sepenuhnya dari Fatimah Syarhah.. http://www.facebook.com/profile.php?id=1517186260
  Atas tajuk Post beliau:
Wujudkah sokongan mimpi dalam urusan jodoh?

 Apakah pandangan Islam tentang mimpi (ru’yah)?
Realiti 3 golongan
1. Ada orang yang bergantung sepenuhnya kepada mimpi. Ia terdedah kepada sangkaan, mainan syaitan dan mainan perasaan.
2. Ada golongan yang menolak sepenuhnya mimpi. Ia menafikan sesuatu yang wujud, thabit (tetap) serta tidak patut diingkari secara umumnya.
3. Ada golongan yang menganggap mimpi sebagai bonus sokongan daripada Allah SWT dengan apa yang telah diyakini berdasarkan petunjuk Al-Quran dan Al-Sunnah. Pendapat ini lebih adil dan sederhana.
Merujuk Risalah Taalim oleh al-Imam Hassan al-Banna yang dihuraikan oleh Muhammad Abdullah al-Khatib dan diadaptasi oleh penulis, ada beberapa penjelasan tentang kedudukan mimpi dalam Islam. Antaranya ialah:
1. Mimpi insan biasa bukanlah hujah bagi hukum syarak. (Misalnya seseorang yang bermimpi bahawa hubungannya dengan Allah telah mantap maka dia hanya perlu solat pakai niat sahaja, maka mimpinya dikira batil dan tak menjatuhkan hukum syarak apapun ke atasnya).
2. Mimpi seseorang tidak diambil kira jika bertentangan dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. (Misalnya wanita mengandung bermimpi makan khinzir menyebabkan dia sangat mengidamkannya. Mimpi itu tidak boleh dijadikan hujah untuknya melanggar hukum agama yang telah tetap.)
3. Mimpi seseorang yang tak bertentangan dengan nas, boleh diambil kira untuk dirinya sediri, bukan hujah bagi orang lain. (Misalnya jika seseorang bermimpi berkahwin dengan seseorang, manakala agama dan akhlak orang tersebut memang bagus, maka dia boleh berusaha ke arah menjadikan mimpinya suatu realiti. Namun, dia tidak boleh memaksa orang itu menerimanya semata-mata berhujahkan mimpinya sendiri.)
4. Mimpi banyak berbaur dengan sangkaan, bercampur-aduk dengan waham (prasangka), justeru kita tak bergantung sepenuhnya kepadanya. Sekadar berwaspada. (Misalnya kita bermimpi berkahwin dengan seseorang, sedangkan kita belum mengetahui tentang agama dan akhlaknya, maka tak perlu terburu-buru percaya pada mimpi itu. Mimpi itu mungkin boleh menjadi sekadar ilham untuk kita merisik agama dan ahklaknya dengan teliti).
5. Faedah kewujudan mimpi adalah sokongan tambahan pada perkara yang telah tetap (thabit) daripada Al-Quran dan Al-Sunnah. Ia dianggap sokongan tambahan kepada perkara yang telah thabit dan dianggap sebagai cahaya di atas cahaya.
6. Mimpi bukan semuanya daripada syaitan dan mainan perasaan ketika tidur. Ada juga mimpi yang benar daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW, “Mimpi ada tiga jenis: Mimpi yang datang daripada Allah, mimpi yang berpunca dari dirinya sendiri dan mimpi daripada syaitan.” (Riwayat Muslim). Ibnu Taimiyah berkata di dalam Al-Fatawa, hendaklah seseorang tahu membezakannya. (Misalnya seseorang yang leka dalam maksiat, tidak mahu bertaubat, tiba-tiba ingin beristikharah dalam urusan jodoh, sudah tentu besar kemungkinan mimpi malamnya akan sering dipengaruhi oleh wajah gadis yang didambakan. Sebaik-baiknya, dia bertaubat dan menjauhkan diri daripada dekat dengan jalan-jalan zina terlebih dahulu seperti asyik call, sms dan dating).
7. Sekalipun ulama tidak mengingkari wujudnya mimpi yang benar, namun mereka mensyaratkan perlunya nilaian daripada Al-Quran dan Al-Sunnah terhadap setiap apa yang dimimpikan. Hanya kedua sumber tersebut yang maksum (terpelihara daripada kesilapan).
8. Berkata Ibnu Taimiyah, “Ahli kasyaf dan ahli ilham ada kalanya benar dan ada kalanya silap. Justeru mereka perlu berpegang teguh dengan tali Allah dan sunnah Rasulullah SAW.” (Al-Fatawa).


 Jadi, wujudkan Sokongan Mimpi dalam Urusan Jodoh?

Rasulullah SAW mencontohkan kepada kita agar beristikharah (berdoa pada Allah) dan bermusyawarah (berbincang dengan makhluk) dalam membuat sesuatu pilihan.

Kita tak perlu meragui lagi bahawa Rasulullah SAW menjadikan istikharah itu trend dalam hidup baginda apabila ingin membuat sesuatu pilihan. Buktinya, kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 

“Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari). 
Setelah kewafatan Khadijah, Allah SWT sering menghadirkan mimpi seorang gadis yang dibawa oleh malaikat Jibril di dalam kelubung sutera. Apabila diselak, gadis itu adalah Aisyah. Jibril berkata, “Ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat). Tiga kali mimpi itu menemani malam baginda.

Baginda cuma berkata kepada diri dengan mimpi itu, “Kalau ini kehendak Allah, pasti akan terlaksana.” (Muttafaqun a’laih).
Setelah mengalami mimpi itu, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Usman bin Mazh’un yang mencadangkan calon untuk baginda. Didapati calon yang dimaksudkan berdasarkan nilaian agama memang patut dijadikan isteri. Natijahnya, Rasulullah minta dia menyampaikan pinangan baginda kepada calon yang dimaksudkan itu.

Kesimpulannya:

1. Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah. 
2. Petunjuk tak semestinya hadir melalui mimpi. Namun jika kita bermimpi yang baik, ia boleh jadi bonus sokongan daripada Allah kerana mimpi itu wujud, thabit dan tak patut diingkari secara umumnya.
3. Petunjuk boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. 
4. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.


Persoalan Lazim Remaja 



Bagaimana kita nak tahu si dia terbaik untuk kita atau tak?” 
“Lepas istikharah mesti nampak dalam mimpi ke?” 
“Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya sebab dia nampak saya dalam mimpi lepas buat istikharah. Macam mana tu? Perlu ke saya terima dia padahal saya tak yakin pun dengannya?” 
“Saya takutlah nak buat istikharah. Takut nanti nampak apa yang saya tak kenan.” 
Apa Itu Istikharah? 



Istikharah merupakan suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan samada dilakukan dengan cara berdoa sahaja ataupun sebaik-baiknya solat sunat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Ia dilakukan bukan dalam urusan memilih jodoh semata-mata bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan. 
Contohnya, nak beli kereta VIVA atau Myvi bila dah mula kerja nanti, nak balik kampung atau ikuti program keusahawanan ketika cuti semester depan, nak pilih course Undang-undang Sivil atau Undang-undang Syariah, dan sebagainya. 
Bagaimana membuat pilihan?
Buatlah pilihan dengan istikharah dan musyawarah (berbincang). 
Berdoa pada Khaliq dan berbincang dengan makhluk.
Sandarannya Al-Quran dan Al-Sunnah.
Namun, tiada istikharah dalam menolak perintah Allah atau melakukan larangan-Nya. Contohnya, nak pakai tudung ke tak? Nak pakai jeans ke baju kurung? Nak pergi dating atau study? Dan sebagainya. 
Istikharah Menghapus Unsur-unsur Ramalan 


Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, mentera dan meramal masa depan. Pelbagai kretiviti direka-reka untuk menilik nasib ketika itu seperti meramal dengan bintang, meramal dengan sial burung dan mengundi dengan undian belahan-belahan kayu yang keras yang telah dihaluskan. Mereka meramal untuk mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam peperangan dan sebagainya. 
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maiah: 90). 
Sebagai pengganti kepada unsur-unsur ramalan seperti ini, Allah SWT mensyariatkan istikharah yang mengandungi benih tauhid dan kebahagiaan di dalamnya. Tidak akan menyesal orang yang memilih untuk beristikharah sebelum memutuskan urusannya. 
 

Doa Istikharah 

Maksudnya: 
“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (pernikahanku dengannya) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (pernikahanku dengannya) mendatangkan keburukan bagiku, pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya.” 

 

Galakan Istikharah 

Melihat galakan istikharah yang tinggi dalam Islam hingga ada ulama yang menganggapnya wajib. Namun, ulama salafussoleh bersepakat bahawa istikharah itu sunnah bukan wajib. 
Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari). 


Imam al-Syawkani berkata dalam Naylul Awtar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam dan tidak diketahui terdapat khilaf padanya. 



Rasulullah SAW bersabda: “Salah satu sumber kebahagiaan anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi) 
 

Petunjuk Istikharah Melalui Mimpi? 


Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Ia boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi r.a. dan disokong oleh kebanyakan ulama. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk. Jadi kenapa perlu takut untuk istikharah? 
Jika seseorang itu mengalami mimpi yang menenangkan hatinya setelah istikharah, ianya hanyalah satu bonus daripada Allah SWT buatnya. Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi! 
Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri untuk memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah bagi kita! 
Hatta kalau kita sendiri yang bermimpikan seseorang setelah istikharah, kita mesti memastikan terlebih dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati dan membiasakan diri dengan banyak perkara yang melalaikan. Imam Ibnu Hajar al-Asqolani menekankan supaya jangan cenderung kepada salah satu antara dua atau lebih pilihannya sebelum membuat istikharah. (Fath al-Bari, 11/223). Jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk al-Quran dan al-Sunnah .

No comments:

Post a Comment