Wednesday, January 2, 2013

Empat perkara yang telah ditentukan semasa kita dalam kandungan ibu.


Di sini saya tertarik sekali untuk berkongsi kepada rakan-rakan akan Hadis ke Empat daripada 40 Hadis Susunan Imam Nawawi. Satu perkara yang menyebabkan saya terfikir-fikir banyak kali mengenai ‘kecelakaan’ seseorang pada hujung hayat. Saya akan berkongsi Hadis tersebut bersama Huraiannya yang terkandung dalam Kitab Hadis 40 yang diterjemah, disyarah dan disusun oleh Mustafa Abdul Rahman, buku terbitan fajar Bakti muka surat 125. Ikuti perkongsian berikut:

Terjemahan Hadis Ke-Empat adalah seperti berikut:
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim- dari abu abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anh, katanya:
Telah menceritakan kepada kami oleh Rasulullah s.a.w dan ia benar lagi dibenarkan (ertinya ia (Rasulullah) yang benar dan dibenarkan segala tindakannya) ; sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari air mani, kemudian jadi segumpal darah seperti demikian itu empat puluh hari, kemudian jadi seketul daging seperti demikian itu juga iaitu empat puluh hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkannya menulis empat kalimah, iaitu rezekinya dan umurnya dan amalnya serta celakanya atau bahagianya. Maka demi Allah yang tidak ada tuhan selainnya, sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah ia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan amal dengan ahli neraka sehinggar antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, mungkin terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan pula dengan amal ahli syurga, maka masuklah ia ke dalamnya. -Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Syarahannya:
PERKARA ASAL KEJADIAN MANUSIA DAN KESUDAHAN AMALNYA

1. Ciptaan Manusia dengan Beransur-ansur
Pada hadis tersebut Rasulullah menerangkan asal permulaan manusia dan ketentuan dirinya sebelum lahirnya, sampai manusia mengerti asal dirinya diciptakan dari tanah atau dari air mani yang berasal dari tanah. Kemudian setelah hidup dalam jangka masa yang tertentu sampailah ajalnya dan dia menjadi mayat (bangkai) yang dikebumikan dalam tanah.

                Menurut hadis tersebut, manusia diciptakan dari air mani dengan cara beransur-ansur sebagaimana yang dikatakan Rasul, iaitu:
Sesnugguhnya dikumpulkan kejadian salah seorang kamu dalam perut ibunya empat puluh hari berupa air mani(nutfah).

Imam nawawi berkata: Bawaha mungkin yang dimaksudkan dengan ‘dikumpulkan’ di sini, ialah dikumpulkan air mani lelaki dan perempuan, lalu terjadilah anak, seperti yang dikatakan Allah dalam firman-Nya:

Dijadikan dari air mani yang memancar.
 (Surah at-thariq:6)
Dan mungkin pula yang dimaksudkan dikumpulkan dari seluruh badan, beralasan dengan pendapat yang mengatakan bahawa dalam peralihan masa pertama, air mani itu menjalani seluruh tubuh perempuan selama empat puluh hari dan sesudah itu baru dikumpulkan dan dijadikannya segumpal darah (‘alaqah). Demikian keadaannya selama empat puluh hari pula dalam fasa ke dua, yang makin sehari makin bertambah besar.

                Akhirnya, pada peralihan masa ketiga, darah yang beransur-ansur besar itu menjadi seketul daging (mudhghah) iaitu besar daging yang dapat dikunyah. Dan dalam peralihan masa ketiga inilah seketul daging itu mendapat bentuk ciptaan seorang manusia menurut kehendak tuhan dengan dimulai melengkapkan pancaindera; dijadikan padanya alat pendengaran, penglihatan, penciuman dan mulut serta diadakan dalam rongga perut apa yang disebut perut besar dan perut kecil (halus). Inilah dikatakan Allah dalam Firman-Nya:

Ia yang membentuk kamu di dalam rahim menurut bagaimana yang ia kehendaki.
(Surah al-Imran:6)

Kemudian apabila berakhirnya peralihan masa ketiga itu, yang berlangsung selama empat puluh hari, maka telah berumurlah segumpal daging yang telah dibentuk itu empat bulan, lalu ditiupkan rohnya supaya ia hidup. Firman Allah:

Hai manusia! Jika adalah kamu dalam keraguan tentang hari kebangkitan (hari kiamat) maka (fikirkanlah) bahawa sesungguhnya kami telah jadikan kamu dari tanah (iaitu Adam), kemudian dari setitik air mani, kemudian dari seketul darah, kemudian dari sekepal daging yang sempurna kejadiannya dan tidak sempurna kejadiannya (iaitu kurang keadaan kejadiannya atau tidak dijadikan iaini gugur).
(Surah al-haj, ayat 5)

2. Ditulis empat kalimah semasa dalam kandungan

Setelah kandungannya hidup kerana telah ditiupkan roh oleh malaikat, maka diperintahkan kepadanya untuk menulis empat kalimah mengenai rezekinya, ajalnya, amalnya, kesudahan nasib dirinya bahagia atau celaka. Ertinya, waktu itu bahagian rezeki yang akan diterimanya telah ditetapkan tentang banyak atau sedikit, dengan cara yang payah atau senang, dari jalan yang haram atau halal. Demikian pula panjang pendek usianya, buruk baik pekerjaannya, celaka bahagia akhir hidupnya.

                Dalam riwayat ibnu Mas’ud (dalam hadis lain)ada diterangkan bahawa apabila air mani (nutfah) telah bertempat dalam rahim, maka malaikat terus mengambil dengan tapak tangan seraya berkata: ‘Hai tuhan! Adakah hendak dijadikan kejadian ini atau tidak?” Apabila tuhan menjawab: ”Tidak dijadikan”; maka air mani itu dicampakkan ke dalam rahim berdarah dan tidak bernyawa. Tetapi jika tuhan menjawab “jadikanlah!”; maka malaikat itu berkata lagi: “adakah dia lelaki atau perempuan? Berbahagiakah orangnya atau celaka? Bagaimana rezekinya? Berapakah lama usianya? Dan dibumi manakah tempat kematiannya?” Setelah itu tuhan menjawab: pergilah kepada Ummul kitab (Luh Mahfuz). Segala-galanya itu ada di sana. Kemudian malaikat pun pergi ke tempat tersebut lalu menyalin apa yang ada di situ hingga kepada sifatnya yang kecil semuanya ada belaka.

                Demikianlah apa yang telah ditulis baginya adalah ketetapan bagi kehidupannya di dunia ini. Tetapi dia sendiri tidak mengetahui bagaimana tulisan itu, sebab pengetahuan mengenainya bukanlah urusannya. Urusan bagi manusia adalah melaksankan kewajipan beramal dan bekerja menurut jalan dan sebabnya.

3. Sehasta dengan Neraka atau Syurga

Setelah Rasul menerangkan bahawa seorang manusia telah ditulis empat kalimah bagi perjalanan hidupnya di dunia, maka dijelaskan pula seorang yang celaka atau bahagia kerana amalnya yang jahat atau yang baik di akhir hayatnya hingga ke hari meninggalnya sampai kepada ketentuannya di akhirat kelak ke neraka atau ke syurga.
                Menurut hadis tersebut (hadis ke empat ini) seorang yang celaka itu pada masa hidupnya telah beramal dengan amal ahli syurga; ertinya telah melakukan taat dan menjauhi larangan hingga tidak ada jaraknya dengan syurga kecuali satu hasta saja lagi oleh  terlampau dekatnya dengan syurga itu dan tidak ada halangan kecuali ia belum lagi mati; tetapi nasibnya adalah malang kerana suratannya telah lebih dahulu menetapkan yang ia ahli neraka. Lalu berubahlah hatinya, bertukarlah sikap dan corak hidupnya; kalau dahulu semasa mudanya adalah seorang yang soleh, sekarang di masa tuanya adalah seorang yang fasik, dan dalam keadaan yang demikian ini akhirnya mati; mati dalam masa sedang asyik melakukan perbuatan ahli neraka. Kerana ini masuk ia ke dalam api neraka.

                Sebaliknya pula, pada hadis tersebut diterangkan hal orang yang bahagia, kerana mati dalam amal ahli syurga. Sekalipun sebelumnya ia telah banyak mengerjakan amal ahli neraka, tetapi disebabkan perubahan sikapnya dan kelakuannya, maka akhirnya ia dapat memasuki syurga, berkat pekerjaannya yang baik dan amalnya yang diterima dibahagian akhir hayatnya.

                Melihat kenyataan hadis ini, teranglah bagi kita bahawa akan menentukan akhir hayat dan kesudahan amal ialah suratan atau tulisan kitab yang ditetapkan lebih dahulu, seolah-olahnya apa yang sedang dikerjakan sekarang belumlah dapat menentukan atau memastikan natijah-natijah atau kesudahannya. Kalau demikian, apakah faedah beramal dan mengapakah bersusah payah berusaha? Tunggu sajalah keputusan takdir. Inilah pertanyaan yang selalu timbul yang sangat meragukan. Dan pada zaman Rasulullah pernah juga berbangkit soalan seperti itu sebagaimana yang telah diterangkan Rasulullah dalam salah satu hadis baginda yang bermaksud:

Tidak ada seorang daripada kamu melaikan telah ditulis tempat duduknya dari neraka dan tempat duduknya dari syurga. Lalu mereka berkata: Ya Rasulullah! Kalau begitu maka apakah kami berserah sahaja kepada tulisan kami dan kami tinggalkan amal? Rasulullah bersabda: Beramallah kamu, maka semuanya akan dipermudahkan kepada apa yang telah dijadikan baginya. Adapun orang yang dari golongan bahagia akan beramal dengan amal golongan bahagia. Dan orang dari golongan celaka akan beramal dengan amal golongan celaka (dalam hadis yang lain diterangkan: Orang yang bahagia akan dimudahkan untuk beramal dengan dengan amal orang bahagia, dan orang yang celaka akan dipermudahkan untuk amal orang celaka). Kemudian Rasulullah memabaca ayat 1 hingga 5 dari surah al-lail yang bermaksud: maka adapun orang yang memberi dan berbakti dan mengakui dengan kebaikan, maka kami akan mudahkan ia dengan jalan yang mudah. Dan adapun orang yang bakhil dan merasa terkaya dan mendustakan dengan kebaikan, maka ia akan dipermudahkan kepada jalan yang payah).

Jelaslah dari keterangan ini bahawa Rasulullah banyak memperkatakan perkara amal serta menitik beratkan hubungannya dengan seseorang. Kerana amal yang akan mendorongkan jalan kemudahan, dan kerananya pula akan terbuka arah tujuan dan padanya terdapat sebab-sebab yang menimbulkan kebahgiaan dan kecelakaan.

Petunjuknya (Dalalahnya):

Hadis ke empat ini mengandungi beberapa petunjuk, antaranya:
1. menunjukkan kepada asal kejadian manusia dari satu unsur yang sama, iaitu dari air mani, dan keluar ke dunia dari tempat yang sama, dalam keadaan yang sama; sama-sama tidak mengetahui sesuatu. Berdasarkan kepada kejadian yang sama inilah, maka manusia semua adalah satu sahaja tarafnya; tidak ada kemuliaan dan kehinaan seseorang, sebagaimana tidak ada sebarang sebab baginya memandang ketinggian dirinya dan kerendahan pada orang lain.

                Selanjutnya hadis ini menunjukkan kekuasaan Allah dan kebijaksanaannya menciptakan manusia dengan cara beransur-ansur serta ditetapkan pula garisan perjalanan hidupnya di dunia, supaya manusia itu sedar dirinya, mengetahui halnya, faham hakikat hidupnya; iaitu ia diciptakan, dihidupkan oleh tuhannya serta ditunjukkan sebab-sebab penghidupannya. Kesihatannya dan sebagainya. Akhirnya supaya ia mengerti dan percaya bahawa tuhan yang menciptakannya itulah tuhan yang mematikannya dan membangkitkannya kelak di kuburnya. Dan kebangkitan ini bagi tuhan tidaklah sukar. Kerana apakah sukarnya lagi baginya mewujudkan kembali suatu yang telah ada, sedang dulu semasa belum ada dapat diwujudkan-Nya.

2. menunjukkan bahawa amal seseorang adalah syarat yang menghampirkan kepada balasan yang baik atau jahat, syurga atau neraka sebagaimana yang difahamkan oleh hadis tersebut; dan bahawa seseorang tiada seharusnya memastikan dirinya masuk syurga kerana kebaikan dan memastikan orang lain masuk neraka kerana kejahatannya, atau membanggakan dengan amalnya dan merasa sudah cukup taatnya; kerana ia tidak tahu bagaimana kesudahannya kelak, bahagia atau celaka.

                Apa yang seharusnya dilakukan adalah mengusahakan supaya amal yang baik itu terus menerus sepanjang hayatnya serta memperelokkannya, mengawasi dari perkara yang merosakkannya dan supaya selalu memelihara perjalanan hati atau jiwanya atau perubahan yang mendatangkan akibat yang celaka. Kerana perubahan inilah yang sangat ditakuti sekali dan kerana inilah Rasulullah sendiri membanyakkan berdoa supaya ditetapkan hati dengan sabdanya: ‘Ya muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala diinik’ yang bermaksud:’ hai tuhan yang mengubah segala hati! Tetaplah hatiku atas agamamu’.

                Dan pernah dikatakan orang kepada Rasulullah: Hai Nabi Allah! Kami beriman kepadamu dan apakah yang akan engkau datangkan? Adakah engkau takut atas kami? Sabdanya: Ya! Kerana segala hati di antara dua jari dari jari-jari tuhan Rahman ‘azzawajalla, yang diubah-ubahkannya betapa ia kehendaki.

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment